Datuk Syed Elias Syed Ahmad, Perintis Tanaman Buah Tin Di Malaysia

Ramai yang tidak begitu mengetahui tentang buah tin, apatah lagi khasiat yang ada kaitan dengannya. Buah ini dipercayai boleh merawat pelbagai jenis masalah kesihatan termasuk keradangan, kelumpuhan, penyakit hati, masalah pernafasan dan penyakit kulit. Buah tin sememangnya masih asing di negara ini tetapi hasil penyelidikan Datuk Syed Elias Syed Ahmad, perintis tanaman buah tin di Malaysia mendapati buah ini boleh ditanam dalam iklim khatulistiwa dan boleh dituai sepanjang tahun.

Hasil usaha gigih beliau kini membolehkan sesiapa sahaja menanam buah tin yang berasal dari Asia Barat dan selatan Eropah ini di belakang rumah mereka. Syed Elias yang begitu komited dengan kerja-kerja penyelidikan buah tin ini berkongsi pengalamannya dengan Bernama baru-baru ini. Minat mendalam Syed Elias terhadap buah tin ini bermula sewaktu beliau berkunjung ke Turki pada 2008. Beliau masih ingat pertama kali terpandang buah yang dijual di sepanjang lebuh raya di Turki. “Saya singgah di situ dan bertanya kepada penduduk tempatan nama buah itu. “Mereka beritahu saya buah itu dipanggil ‘incir’,”. “Saya membeli beberapa biji dan memakannya, manis sungguh buah tin.

“Sewaktu kunjungan saya ke Tunisia kemudiannya, sekali lagi saya berjumpa dengan buah ini dan saya diberitahu namanya buah tin’,” jelasnya. Rasa kagumnya dengan buah tin itu membuatkan Syed Elias membuat penyelidikan tentang buah tin sekembalinya ke tanah air. Penulis berkesempatan menemu bual usahawan ini sewaktu majlis pelancaran bukunya bertajuk ‘Figs Culture In The Tropics Volume 1’ di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Syed Elias, beliau pernah membeli buah tin dengan begitu banyak untuk penyelidikannya. Hasil usaha penyelidikannya sejak kira-kira lapan tahun lalu, beliau berjaya menanam pelbagai jenis spesies buah tin. Terdapat pelbagai jenis buah tin dan mempunyai warna yang berbeza seperti merah, hitam, hijau, kuning serta perang.

Posted by Healthy Fig Product on Jumaat, 2 Februari 2018

Syed Elias turut mempunyai ramai peminat yang berkongsi kesungguhan yang sama dalam tanaman buah ini. “Saya mempunyai dua buah ladang buah tin, satu di belakang rumah dan satu lagi di Janda Baik, Pahang. “Buat masa ini, saya menjual buah tin yang saya hasilkan ke pasaran luar negara. “Permintaan memang tinggi tetapi bekalan tidak mencukupi,” kata Syed Elias. Beliau berkata, masalah bekalan buah tin boleh diatasi sekiranya lebih ramai penduduk tempatan menanam buah ini. “Masyarakat tempatan masih belum biasa dengan buah tin ini.

“Untuk itu, kami berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia akan menaruh minat dalam penanaman buah tin ini,” katanya. Menanam pokok buah tin memang banyak cabaran, satu dari-padanya ialah membina rumah hijau untuk membolehkan pokok menghasilkan buah. “Memang mahal untuk membuat rumah hijau tetapi ia perlu untuk melindungi pokok dari hujan kerana ia akan boleh merencatkan perkembangan buah,” tegasnya. Oleh yang demikian, Kementerian Pertanian dapat menyediakan peruntukan untuk beliau dan penanam buah tin yang lain untuk membina rumah hijau. Syed Elias juga berharap kementerian berkenaan dapat membantu penanam buah tin mempromosikan buah itu di Malaysia. “Dengan promosi besar-besaran, saya percaya buah tin ini mempunyai nilai besar dalam pasaran. “Saya menjelajah ke banyak negara untuk mencari maklumat mengenai penanaman buah tin. “Saya turut menghabiskan banyak masa untuk mengusahakan ladang saya di samping menghasilkan buku,” kata Syed Elias sambil menambah, buku yang dihasilkannya itu mengan-dungi banyak maklumat mengenai buah tin. Buku ini dijual di kedai buku di seluruh negara dengan harga RM399.

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WhatsApp chat